1. Sebelum negara mencatat sejarah kemerdekaan 31 Ogos 1957, pelbagai rintangan dan cabaran getir dihadapi rakyat ketika itu kerana berdepan dengan keganasan komunis hingga ada yang mati dibunuh dengan kejam.

Kebanyakan mereka juga tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan dengan berjalan kaki dalam hutan berikutan tidak tahan dengan serangan komunis. Sejarah hitam serangan komunis juga pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943, apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang pengawal, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis. Adik perempuannya sendiri yang sarat mengandung lapan bulan adalah antara 26 orang Melayu yang dibunuh dalam serangan komunis itu. Kubur arwah Nik Mah Nik Soh yang mati dibunuh dengan kejam oleh komunis, masih menjadi kenangan sejarah kerana kini berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di bandar ini dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenainya. Allahyarham Nik Mah yang tidak sempat melarikan diri kerana sarat mengandung, hanya melindung diri dalam longkang besar jalan menghala ke masjid sebelum sekumpulan komunis ternampak lalu menembak hingga mati. Pembunuhan kejam itu menyebabkan jenazahnya tidak boleh dibawa keluar dari kawasan Gua Musang untuk dikebumikan kerana sentiasa dikawal komunis dan jenazahnya pada ketika itu sempat ditanam di tepi tangga belakang masjid tersebut. Oleh kerana masjid itu diubah suai dan dibesarkan, berikutan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur Allahyarham Nik Mah berada di tengah-tengah masjid hadapan mimbar hingga timbul tanya tanda kebanyakan jemaah yang datang dari luar daerah ini.
 
Walaupun Gua Musang telah lama wujud, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai dan tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut orang Melayu termasuk makanan. Pendapatan utama penduduk ketika itu, hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah yang terletak di Kuala Krai. 
 
2. Selain itu, berlaku juga pertempuran hendap antara askar 3RAMD dengan komunis di Sungai Semor dekat Kampung Pulai tahun 1948 yang meragut 16 nyawa anggota tentera dan mencederakan seorang pegawai berpangkat Leftenan Muda.
Seramai 29 orang Pasukan Komunis Malaya (PKM) turut maut sebelum keadaan di Sungai Semor kembali reda dan kini kawasan tersebut menjadi tempat kenangan serta kajian sejarah peperangan zaman darurat dahulu.
 
3. Masjid Razaleigh menjadi sejarah ada kubur mangsa pembunuhan kejam komunis.
 
4. Kubur Nik Mah yang mengandung lapan bulan dibunuh komunis ditanam dalam masjid Razaleigh.
 
5. Bandar Gua Musang pernah ditawan komunis tahun 1943.
 
6. Kuarters kereta api berhampiran Stesen Keretapi Lama Gua Musang pernah dijadikan balai polis ketika zaman British.
 
7. Bandar Gua Musang ketika zaman 70-an.
 
8. Kereta api menjadi pengangkutan penting penduduk sejak awal tahun 50-an.
 
Sumber : alaudin ma sinar harian